Amirudin Shari
Amirudin Shari
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri akan membangunkan projek Rumah Idaman mampu milik berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir berharga RM250,000 November ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Rumah Idaman itu akan dibina khas untuk rakyat yang bekerja serta tinggal di Selangor dan pertama kali memiliki rumah.

"Kerajaan negeri sudah mengenalpasti cara mengukuhkan ekonomi di era pandemik ini sambil memberi peluang kepada rakyat Selangor memiliki rumah idaman.

"Dengan kerjasama MGB Berhad dan LBS Group, enam projek Rumah Idaman di beberapa lokasi strategik dan pesat membangun akan dibina di Saujana Putra, Shah Alam 2, Cybersouth, Puchong dan Alam Perdana.

"Tidak kira di mana lokasi Rumah Idaman itu, kerajaan negeri memastikan ia mudah akses melalui lebuh raya utama dan dilengkapi pelbagai kemudahan berdekatan seperti hospital, sekolah, universiti serta pengangkutan awam," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pengumuman Khas Rumah Idaman secara maya menerusi Facebook rasminya dan fb.com/officialplatselangor hari ini.

Amirudin berkata, Rumah Idaman menawarkan nilai berpatutan bagi pemilik rumah pertama kerana saiz yang luas, harga mampu milik, kelengkapan disediakan dan reka bentuk praktikal.

"Setiap unit Rumah Idaman akan dilengkapi kemudahan seperti televisyen, penyaman udara serta almari pakaian.

"Antara enam projek baharu itu, Idaman BSP di Bandar Saujana Putra dijangka akan dilancarkan November ini dan akan siap untuk diserahkan kepada pembeli pada penghujung 2024," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, dengan sistem binaan berindustri, Rumah Idaman semakin mampu dimiliki kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.

"Ia juga mengoptimumkan kos dan yang paling penting meningkatkan kualiti rumah mampu milik supaya ia dapat didiami dengan selesa.

"Selain menjadi pilihan selamat dan cepat, teknologi ini juga lebih mesra alam dan mampu mengekalkan kelestarian alam sekitar," katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.platselangor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:28 PM