GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Bajet 2022 harus memberi tumpuan kepada industri padi dan beras bagi memastikan negara mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) beras negara lebih 75 peratus menjelang 2025 sebagai jaminan makanan untuk rakyat.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Azman Mahmood berkata, adalah diharapkan Bajet 2022 memberi fokus kepada industri berkenaan termasuk dalam usaha peningkatan dari segi subsidi input dan output bagi memberi manfaat kepada 300,000 pesawah.

Menurutnya, subsidi input seperti baja dan racun padi bukit atau huma, dan insentif benih padi sah serta subsidi output seperti skim subsidi harga padi RM360 per metrik tan bersih padi yang dijual di kilang padi akan mampu meningkatkan lebih banyak pengeluaran sekali gus meningkatkan pendapatan petani.

"Tumpuan berterusan harus diberikan untuk memastikan pengeluaran padi dan SSL beras negara dipertingkatkan supaya tahap kebergantungan terhadap beras import dikurangkan serta usaha siap siaga hadapi krisis sekuriti makanan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2022 Jumaat ini yang akan menekankan tiga fokus utama iaitu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

Azman berkata, penggunaan kaedah Rice Check yang betul perlu digalakkan supaya baja-baja yang diberikan kepada pesawah digunakan secara optimum dalam meningkatkan purata hasil sehektar nasional kepada tujuh tan metrik daripada purata hasil semasa 3.5 tan metrik ketika ini, dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sekali gus mencapai sasaran SSL beras negara.

Rice Check adalah panduan untuk menguruskan tanaman padi mengikut sasaran yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 11:58 AM