GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Seorang pemandu lori gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 14 tahun serta lima sebatan kerana melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia empat tahun di bawah jagaan isterinya.

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara menolak rayuan dikemukakan Sulaiman Aswari, 44, selaku perayu terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 3 April 2019.

Hakim Vazeer Alam berkata, selepas mempertimbangkan penghujahan kedua-dua pihak dan meneliti keterangan dalam rekod rayuan, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan Sulaiman.

"Selepas menimbang isu-isu yang ditimbulkan oleh peguam perayu, kami dapati bahawa kompetensi saksi pendakwaan ketiga (SP3 iaitu mangsa) telah dinilai oleh hakim Mahkamah Sesyen dan beliau (hakim) telah membuat kesimpulan bahawa SP3 adalah seorang saksi yang kompeten bagi maksud Seksyen 17 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Kami dapati proses penilaian yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen terhadap kompetensi SP3 adalah menurut kehendak undang-undang dan tiada kesilapan," katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk See Mee Chun.

Hakim Vazeer Alam berkata mahkamah juga mendapati laporan perubatan oleh dua pakar perubatan adalah sokongan kepada keterangan SP3 dan tiada sebab untuk mengusik dapatan fakta serentak oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

"Oleh demikian, kami dapati tiada merit dalam rayuan perayu dan dengan itu rayuan perayu ditolak. Sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan dan hukuman bermula hari ini," katanya.

Sulaiman disabitkan dengan pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang, antara jam 10 pagi hingga 7 petang pada Februari hingga April 2018.

Lelaki itu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu, namun rayuan ditolak dan keputusan Mahkamah Sesyen dikekalkan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berada di bawah jagaan pengasuh iaitu isteri kepada Sulaiman bermula 2016 hingga 8 Mac 2018 dan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung mangsa di Ipoh, Perak, mangsa memberitahu ibu bapanya bahawa perayu yang dipanggil ayah telah melakukan amang seksual terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 7:45 PM