GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara separuh masak hanya akan membawa risiko gelombang baharu Covid-19.

Sebaliknya, sekatan perhimpunan dan majlis sosial berkaitan pilihan raya berkenaan perlu dibuat secara menyeluruh dalam tempoh berkempen bagi memastikan semua pihak bebas daripada jangkitan wabak dan penularan secara tidak sedar.

Ketua Pegawai Operasi Hospital Putra Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tujuan sekatan perhimpunan bagi mengawal penularan adalah langkah yang baik, namun pelaksanaannya tidak boleh dilakukan 'separuh-separuh'.

Menurutnya, penetapan larangan itu sepatutnya terpakai kepada semua aktiviti yang mungkin berlakunya perhimpunan termasuklah majlis perkahwinan dan perkumpulan lain.

"Pada saya, tidak ada beza melarang himpunan politik dan membenarkan majlis kahwin kerana tetap berlaku perkumpulan ramai.

"Perlu ditegaskan, Covid-19 tidak merebak melalui perkumpulan orang ramai, sebaliknya jika gagal mematuhi SOP," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya negeri itu termasuk pelancaran jentera bermula esok sehingga 27 November ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan pemantauan situasi Covid-19 dalam negara didapati antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster di Malaysia adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP.

Justeru, Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya mencadangkan agar lebih banyak pusat pengundian disediakan pada PRN itu nanti termasuklah menyediakan pusat khas bagi pengundi yang positif Covid-19.

Menurutnya, ia termasuklah penggunaan secara optimum dewan orang ramai dan balai raya bagi memastikan penjarakan dijaga sesuai dengan SOP sedia ada oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, antara cadangan lain termasuklah melarang kempen dari rumah ke rumah, sebaliknya menggunakan platform lain seperti media sosial.

Selain itu, katanya, semua pengundi perlu dibekalkan dengan saringan RTK-AG bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan.

"Saya juga mencadangkan agar peringatan keras diberikan kepada calon yang bertanding agar tidak melanggar SOP ini.

"Ia termasuklah membatalkan pencalonan sekiranya didapati bersalah melanggar SOP serta akta yang digunapakai untuk Covid-19 di negara ini.

"Dengan cara itu, kita dapat memastikan perjalanan proses PRN ini berlangsung dengan lancar tanpa ancaman keselamatan diri dan kesihatan pengundi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 5:11 PM