PERMINTAAN mengerjakan umrah dikalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dan kerajaan Arab Saudi tidak menghadkan kuota. FOTO AFP
PERMINTAAN mengerjakan umrah dikalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dan kerajaan Arab Saudi tidak menghadkan kuota. FOTO AFP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kos mengerjakan ibadah umrah terpaksa dinaikkan berikutan terdapat peningkatan kos susulan pelaksanaan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) perlu di patuhi sama ada di pihak Arab Saudi atau kerajaan Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, permintaan mengerjakan umrah kini semakin meningkat selepas kerajaan Arab Saudi membenarkan rakyat luar mengerjakan ibadah berkenaan.

Menurutnya, peningkatan kos RM6,900 ini membabitkan bayaran visa umrah, harga tiket penerbangan pergi balik, kos pengangkutan dan penginapan hotel di Tanah Suci, kos makan dan minum, upah pembimbing umrah atau mutawif, kos ujian saringan Covid-19 dan kuarantin selepas selesai ibadat berkenaan.

Katanya, kerajaan Arab Saudi juga mengenakan Cukai Nilai Tambah (VAT) lebih tinggi, iaitu peningkatan kepada 15 peratus berbanding lima peratus sebelum ini.

"Pada masa ini permintaan mengerjakan umrah dikalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dan kerajaan Arab Saudi tidak menghadkan kuota. Namun jumlah yang ingin memasuki Masjidil Haram ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi dari masa ke semasa," katanya selepas menyampaikan Bantuan One-Off kepada Pekerja Agensi Pelancongan di pejabatnya di sini, tadi.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Sumbangan berjumlah RM2.5 juta itu disampaikan kepada Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA),Sheikh Awadh Sheikh Abdullah.

Bantuan di bawah Program MAIWP Prihatin-Kasih Asnaf 3.0 ini bertujuan membantu pekerja agensi pelancongan yang terkesan akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 4:59 PM