NG (tengah) dan keluarga hidup dalam trauma selepas diugut bunuh 'along'. FOTO Ihsan Jimmy Puah.
NG (tengah) dan keluarga hidup dalam trauma selepas diugut bunuh 'along'. FOTO Ihsan Jimmy Puah.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebuah keluarga di Taman Desa Jaya, di sini, hidup dalam trauma selepas diugut bunuh oleh 'along' berikutan enggan menerima pinjaman wang yang ditawarkan.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, 37, berkata, kumpulan 'along' itu turut bertindak menyimbah cat merah ke kereta adiknya di rumah ibu bapa mereka, selain menghantar gambar pistol kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp, pada 8 Oktober lalu.

Ng berkata, kejadian bermula apabila adiknya yang bekerja di sebuah kilang di Singapura terdesak untuk menggunakan wang dan bertindak menghubungi sebuah syarikat pinjaman wang tidak berlesen, awal September lalu.

"Bagaimanapun adik saya berubah fikiran dan membatalkan hasrat membuat pinjaman selepas dinasihatkan keluarga.

"Namun syarikat berkenaan tetap meneruskan pemberian pinjaman selepas memperoleh maklumat peribadi adik dengan memindahkan wang berjumlah S$1,000 (RM3,079).

"Biarpun tidak bersetuju dengan pinjaman itu, adik tetap membuat bayaran penuh beserta bunga. Namun, tidak lama selepas itu mereka memindahkan lagi SGD2,000 (RM6,158) walaupun adik tidak memohon pinjaman lagi dan mahu memulangkan wang berkenaan, tetapi mereka menolak.

"Selepas tak tahan berkali-kali diganggu Ah Long itu, adik bertindak menyekat nombor telefon berkenaan. Namun kini, kami ahli keluarganya di Johor pula menjadi sasaran Ah Long ini pula," katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut, Ng yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, seorang pemilik akaun Facebook bernama Richard Lou, tiba-tiba memuat naik gambar saya bersama keluarga dengan keterangan mereka tidak membayar pinjaman yang dibuat dengannya.

Ng yang juga peniaga akuarium itu berkata, dia turut menerima mesej ugutan menerusi WhatsApp dari nombor telefon berdaftar di Singapura yang mengugut untuk membakar rumah dan keretanya selain menyimbah cat merah.

"Saya turut menerima mesej WhatsApp dari nombor telefon tempatan yang menghantar gambar pistol selain memberi amaran supaya berhati-hati ketika keluar dari rumah.

"Saya dan isteri tidak pernah membuat pinjaman daripada sesiapa. Disebabkan bimbang akan keselamatan kami, saya membuat laporan polis di Balai Setia Indah pada 8 Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata, lima hari selepas laporan polis itu dibuat iaitu pada 13 Oktober lalu, dia dihubungi ibunya pada jam 11.30 malam memberitahu kereta adik bongsunya di rumah di Taman Desa Jaya disimbah cat merah.

Katanya, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita bertindak menyimbah cat merah manakala seorang lelaki menampal notis di pagar rumah yang bertulis 'ini amaran pertama'.

"Saya tidak mempunyai musuh dan tak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak. Saya berharap perkara ini berakhir segera kerana tak tahan lagi hidup dalam ketakutan seperti ini," katanya yang membuat laporan polis kedua di balai sama pada 14 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Batu yang juga Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, mana-mana individu yang menjadi mangsa 'along' perlu segera membuat laporan polis sebelum keadaan bertambah rumit termasuk membahayakan nyawa keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 4:06 PM