Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan memandang serius isu gangguan seksual terhadap atlet yang mengharumkan nama negara termasuk pendedahan dilakukan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau sesekali tidak mempertikaikan atau mempersoalkan pendedahan Pandelela mengenai gangguan seksual terhadap atlet.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau mahu mendapatkan lebih banyak maklumat untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

"Tindakan sedang diambil, dalam jawapan saya dalam sidang media, saya sedang mengambil tindakan, saya menyatakan mahu mendengar semua pihak sebelum memberi penjelasan.

"Saya sudah muat naik ini dalam Facebook saya untuk semua dengar apa yang saya katakan.

"Dalam hal ini, saya mesti pertahankan Pandelela dan mana-mana atlet serta anak-anak kita yang mengharumkan negara," katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang mempertikaikan kenyataannya berhubung isu gangguan seksual dibangkitkan Pandelela serta tiada tindakan diambil sehingga kini.

Ahmad Faizal menerima kecaman selepas mempersoalkan tindakan Pandelela yang baharu membangkitkan kegiatan tidak bermoral itu selepas kira-kira tujuh tahun isu berkenaan dikatakan berlaku.

Beliau turut menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai pendiriannya mengenai isu gangguan seksual terhadap atlet kerana ia bukan perkara baharu.

"Pendirian kerajaan tentu sekali amat serius dalam memerangi masalah gangguan seksual.

"Apa yang saya katakan dalam sidang media semalam diambil 'out of context' (di luar kontek), kita perlu mendapatkan penjelasan lebih daripada Datuk Pandelela dan mereka yang terbabit dalam perkara membabitkan jenaka lucah dan sebagainya ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya cuba mendapatkan penjelasan menyeluruh sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

"Satu siasatan menyeluruh akan dibuat supaya anak-anak kita terbabit dalam sukan tidak terdedah dengan perkara menjengkilkan ini," katanya.

Menurutnya, beliau juga menggesa atlet untuk bangun dan bercakap mengenai apa yang berlaku supaya tindakan segera boleh diambil.

Pada 21 Oktober lalu, Pandelela mendedahkan beliau mempunyai pengalaman berdepan seorang jurulatih yang menjadikan perkara lucah sebagai bahan lawak.

Disebabkan rasa takut terhadap jurulatihnya itu, beliau berdiam diri dan tampil berpura-pura ketawa di hadapan jurulatihnya.

Apabila sudah tidak tahan dengan lawak berunsur lucah itu, Pandelela menegur tindakan jurulatihnya tetapi beliau dibuli selepas itu manakala jurulatih berkenaan dilaporkan terbabit dalam kes rogol tujuh tahun lalu.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO AZHAR RAMLI
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. FOTO AZHAR RAMLI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 1:56 PM