Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerjasama rapat Malaysia dengan mana-mana negara sama ada secara dua hala atau pelbagai hala tidak sesekali bermakna negara akan berkompromi dalam soal kedaulatan dan kepentingan negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, hubungan Malaysia dengan negara Asean dan melalui Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) memberi kelebihan kepada Malaysia untuk berdepan cabaran geopolitik yang mendatang.

"Cabaran geopolitik terutama dengan kuasa besar adalah satu perkara kompleks dan tidak mudah untuk didepani.

"Bagaimanapun, kelebihan yang ada pada kita adalah hubungan kita dengan 10 negara Asean dan pendekatan pelbagai dengan FPDA, selain hubungan kita secara dua hala dengan negara tertentu.

"Ini meletakkan negara dalam satu posisi bukan hanya dapat mengimbangi kuasa besar di rantau ini, tetapi pada masa sama cukup dihormati oleh negara kuasa besar," katanya pada Waktu Pernyataan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) mengenai adakah relevan Peraturan Pertahanan Lima Negara selepas 50 tahun penubuhannya dan bagaimana FPDA boleh membantu negara menghadapi cabaran ketenteraan masa depan.

Hishammuddin berkata, FPDA masih relevan walaupun selepas 50 tahun penubuhannya dan perjanjian itu masih mampu berperanan membantu negara menghadapi cabaran keselamatan pada masa akan datang.

Menurutnya, setiap negara anggota bertekad untuk saling berunding mengenai langkah harus diambil sekiranya berlaku ancaman luar terhadap Malaysia dan Singapura.

"Eksesais bersama Gold 21 diadakan pada 8 hingga 18 Oktober lalu di kawasan perairan Laut China Selatan dan ruang udara Malaysia serta Singapura.

"Eksesais membabitkan 25 pesawat pejuang, enam pesawat sokongan, enam helikopter, 10 kapal maritim, sebuah kapal selam serta lebih 2,600 anggota tentera dari Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

"Saya sendiri mengadakan pertemuan dengan peserta eksesais ini dan gembira untuk saya laporkan latihan dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.

"Lebih bermakna, eksesais ini adalah signifikan sempena ulang tahun ke-50 penubuhan FPDA yang mana Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah sambutannya serta mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan FPDA ke-11 minggu lalu," katanya.

Menurutnya, dalam melangkah ke depan, semua negara anggota FPDA menyuarakan komitmen untuk saling memberi tumpuan bagi membangunkan tiga elemen penting iaitu memupuk hubungan antara negara anggota untuk memenuhi komitmen strategik, meningkatkan kapasiti negara anggota seiring dengan keperluan keselamatan semasa dan memperkukuh koordinasi antara angkatan tentera masing-masing.

Katanya, oleh itu, FPDA masih relevan dan masih mampu berperanan dalam membantu negara menghadapi cabaran keselamatan masa depan.

"Kerjasama pertahanan pelbagai hala yang kedua tertua di dunia ini membabitkan lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

"Matlamat utama di sebalik penubuhan FPDA adalah demi mempertahankan keselamatan Malaysia dan Singapura dan setiap negara anggota bertekad untuk saling berunding mengenai langkah yang harus diambil sekiranya berlaku ancaman luar terhadap Malaysia dan Singapura," katanya.

Hishammuddin.
Hishammuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 1:01 PM