TIGA suspek yang ditahan selepas bersama lebih kurang 20 individu menyerang enam individu di Kampung Peraya. FOTO Ihsan PDRM
TIGA suspek yang ditahan selepas bersama lebih kurang 20 individu menyerang enam individu di Kampung Peraya. FOTO Ihsan PDRM
Melvin Joni

Padawan: Tiga daripada lebih kurang 20 orang yang menyerang enam lelaki di Kampung Peraya, di sini, berjaya ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dua daripada lelaki itu berusia 30 tahun dan seorang lagi berusia 28 tahun ditahan di kawasan Siburan antara jam 6 dan 7 pagi.

"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sedang giat mengesan suspek masih bebas.

"Kesemua suspek tidak mengaku menyerang mangsa, tetapi mengaku berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan ke Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.

Menurutnya, dalam kejadian pada 6 petang semalam, seorang lelaki cedera ditetak di tangan kanan manakala adiknya berusia 26 tahun mengalami calar dan lebam sebelum sempat melarikan diri.

Ketika kejadian, katanya, kedua-dua mangsa bersama empat rakan sedang membaiki kereta di sebuah bengkel sebelum diserang 20 individu bersenjata pedang samurai, besi kuantaw, kayu hoki dan salah seorang membawa senjata menyerupai senapang patah.

"Kenderaan mangsa jenis Toyota Hilux dan kereta pelanggan terdapat di bengkel itu turut dipecahkan dan telefon bimbit milik abang mangsa dilarikan seorang suspek.

"Bagaimanapun, punca kejadian tidak diketahui dan kesemua suspek tidak dapat dikenali kerana menggunakan pelitup muka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:40 PM