AB Rauf. FOTO Arkib NSTP
AB Rauf. FOTO Arkib NSTP
Amir Mamat

Ayer Keroh: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta mengkaji semula larangan aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya yang diumumkan semalam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ini kerana larangan itu disifatkan terlalu umum, tidak jelas dan terlalu ketat serta khuatir akan berlaku kegagalan pematuhan ketika berkempen.

Katanya, tiada garis panduan khusus untuk parti politik dan berharap ada satu langkah yang lebih mudah serta Prosedur Operasi Standard (SOP) lebih terperinci memandangkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah tiada larangan untuk rakyat merentas negeri.

"Maka, kerancakan berkempen dalam kalangan parti politik bertanding akan terjejas kerana tiada kaedah atau peraturan yang jelas.

"Justeru, perlu ada satu kaedah yang boleh mengizinkan pendekatan untuk semua program berkempen dapat dilaksanakan dengan baik dan sistematik," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyambut baik pengumuman KKM berhubung larangan aktiviti dan perhimpunan berkaitan kempen pilihan raya itu.

Ketua Pemudanya, Ahmad Bilal Rahudin berkata, pihaknya akan menggunakan sepenuhnya kaedah berkempen dalam platform media sosial yang dianggap semakin diterima rakyat.

"Larangan itu memang sudah dijangka, sebab itu kita mengatur kaedah berkempen secara dalam talian dengan meletakkan sekurang-kurangnya 80 peratus kaedah kempen itu menerusi alam maya.

"Kita sudah bersedia awal dan saya yakin kaedah itu akan dapat diterima oleh pengundi ketika ini," katanya.

KKM melarang apa juga bentuk perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya berkuat kuasa hari ini hingga 27 November depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, perhimpunan itu termasuk penganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes mendadak.

Larangan itu berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293/2021) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sebarang pelanggaran kepada peruntukan terbabit, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:31 PM