AIR Sungai Labu melimpah ke kawasan penduduk di Kampung Giching menyebabkan banjir kilat. FOTO Ihsan pembaca
AIR Sungai Labu melimpah ke kawasan penduduk di Kampung Giching menyebabkan banjir kilat. FOTO Ihsan pembaca
Samadi Ahmad

Sepang: Penduduk Kampung Giching di sini menyarankan pihak bertanggungjawab membina ban yang lebih kukuh bagi mengelakkan insiden banjir kilat tidak berulang.

Ketua Kampung Giching, Azlan Abdul Rahman, 57, berkata sepanjang tahun ini kampung ini sudah tiga kali dilanda banjir kilat dan insiden paling buruk berlaku pada Khamis lalu apabila air Sungai Labu melimpah ke kawasan penduduk.

Menurutnya, ban sedia ada yang dibina lebih 30 tahun lalu sudah tidak sesuai kerana keadaan tanah di kampung itu lebih rendah daripada paras sungai.

Katanya, semalam ban yang dalam proses pembinaan pecah apabila air sungai melimpah disebabkan hujan lebat di Seremban dan Nilai.

"Penduduk baharu sahaja selesai membersihkan rumah semalam dan berhadapan banjir kilat kali ke dua menyebabkan mereka berhadapan tekanan kerana kerugian ribuan ringgit selepas perabot dan barangan elektrik musnah ditenggelami air," katanya ketika dihubungi.

Semalam kira-kira jam 4 petang lebih 70 rumah di kampung ini berhadapan banjir kilat kali kedua selepas ban Sungai Labu pecah dan mengalir ke kediaman penduduk.

Penduduk yang terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS)Sekolah Rendah Agama (SRA) Ginching.

Azlan berkata, pembinaan ban itu bagaikan 'melepaskan batok di tangga' kerana ia tidak kukuh dan mudah pecah sekiranya Sungai Labu melimpah.

Katanya, penduduk mencadangkan supaya ban yang dibina itu menggunakan konkrit batu lebih besar supaya tidak mudah pecah apabila arus sungai deras.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 5:21 PM