Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Bimbang tindakan dieksploitasi pihak tertentu, polis tidak mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri majlis pengebumian pengarah ikonik negara, Mamat Khalid, semalam.

Mengakui terdapat pelanggaran SOP pada majlis itu khususnya mengenai penjarakan fizikal berdasarkan beberapa gambar tular di media sosial, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai berkata, bagaimanapun tindakan menegur dan menasihat sudah diambil pihaknya.

"Tindakan kompaun, jika diambil dalam keadaan kesedihan yang melanda ahli keluarga Allahyarham serta rakyat Malaysia yang turut menangisi pemergian tokoh yang dikenali ramai itu, bakal membuka ruang eksploitasi pihak tertentu.

"Jadi tindakan yang kita ambil adalah menasihatkan masyarakat supaya perkara seperti ini tidak berulang," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerjanya di Dewan Tun Salleh Ismael, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Lawatan itu diadakan bersempena ucapan amanatnya susulan persaraan wajib Mazlan pada 9 November depan.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dan Timbalannya, Deputi Superintendan Zahiri Hassan.

Terdahulu, beberapa gambar pada majlis pengebumian Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 58, tular di media sosial memaparkan SOP penjarakkan fizikal yang gagal dipatuhi.

Pengarah yang juga penerbit tersohor itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampong Paloh, Ipoh kira-kira jam 2.20 petang semalam.

Dilaporkan, kira-kira 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di tanah perkuburan berkenaan yang meliputi rakan-rakan artis selain antaranya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Datuk Khairul Anwar Salleh; dan Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 4:16 PM
MAZLAN (kiri) ketika menerima cenderamata daripada Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob (kanan) sempena lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MAZLAN (kiri) ketika menerima cenderamata daripada Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob (kanan) sempena lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri