Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih menunggu keputusan lengkap bedah siasat terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Batu Pahat, yang meninggal selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, sehingga kini pemakluman masih seperti yang dijelaskan iaitu pemeriksaan dalaman mendapati terdapat ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.

"Tiada kemas kini baharu, apa yang ada sama seperti saya maklum dalam kenyataan (pada 23 Oktober) itu sahaja. Semua berpandu pada itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Operasi Mega Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau di Setia Tropika, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, pelajar berkenaan, Noor Hayati Nabila Abdullah, yang juga pelajar Tingkatan Dua itu menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 Comirnaty Pfizer, pada 3 Oktober lalu.

Dr Aman berkata, bagaimanapun, pelajar terbabit ditemukan meninggal dunia di ruang tamu rumah oleh ibunya pada 8 Oktober lalu.

Katanya, bedah siasat sudah dijalankan selepas jenazahnya dibawa pegawai penyiasat polis, Balai Polis Batu Pahat ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) atas sebab kematian mengejut.

Dalam perkembangan lain, menerusi operasi berkenaan, beliau berkata, sehingga 21 Oktober lalu, sebanyak 6,796 kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di Johor.

Katanya, ia membabitkan nilai kutipan keseluruhan berjumlah RM4,382,628.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 3:48 PM