Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kelewatan siasatan polis terhadap laporan dan aduan yang diterima berkemungkinan berpunca daripada beban kerja tinggi.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, polis juga perlu mengutamakan kes berprofail dan penting sebelum membuka kertas siasatan terhadap laporan penduduk setempat.

"Kadang-kadang pihak berkuasa mempunyai banyak kes untuk disiasat bukan satu kes sahaja. Mereka pun banyak kerja lain menyebabkan laporan itu tidak diberi perhatian sepenuhnya.

"Sebab itu, setiap ketua unit siasatan perlu pantau anak buah bagi memastikan setiap laporan diterima diselesaikan dalam tempoh tertentu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) di sini, hari ini.

Musa yang juga Presiden MCCC berkata, pihaknya akan menjadi mata dan telinga polis bagi mengekang kegiatan jenayah dalam komuniti.

"Kita mahu wujudkan kerjasama antara polis dan masyarakat. MCCC mahu imej polis positif dalam kalangan masyarakat sekali gus menaikkan tahap integriti pasukan keselamatan itu.

"MCCC turut menyediakan talian hotline di 019-7782521/019-5562521 bagi memudahkan orang ramai membuat aduan kes jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 3:10 PM