Siti Rohana Idris


Tumpat: Seramai 26 pegawai bomba mewakili Kelantan pada pertandingan cabaran Ujian Kemahiran Taktikal Kebombaan (UKTK) yang diadakan secara maya, bermula hari ini.

Bertempat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, di sini, pertandingan dijalankan secara serentak di seluruh negara bermula hari ini sehingga esok dipancarkan menerusi aplikasi Zoom Meeting yang memaparkan kecergasan serta kecekapan pasukan negeri melengkapkan lima acara, hari ini.

Timbalan Pengarah Bomba Kelantan, Anwar Abu Bakar berkata, seramai 26 pegawai bomba terpilih mewakili Kelantan dan menjalani latihan sejak dua minggu lalu.

"Pertandingan ini dianjurkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan objektif untuk mengukur komponen kecergasan khususnya taktikal kebombaan membabitkan kekuatan serta daya tahan.

"Kriteria peserta dipilih adalah kesihatan dalam keadaan baik dan cergas, tiada penyakit kronik serta lengkap dua dos dan yang menariknya, negeri ini turut menampilkan tiga pegawai wanita," katanya.

Anwar berkata, pertandingan sebegitu julung kali diadakan bagi menggantikan pertandingan kawad kecekapan dan ditambah dengan pelaksanaannya secara dalam talian, ia dilihat sesuatu yang baharu.

Pertandingan itu merangkumi lima acara berkumpulan iaitu cabaran 'firefit', 'ladder', 'tower', 'hercules' dan 'relay' manakala acara individu berlangsung esok menerusi cabaran 'braveheart'.

Cabaran berlangsung bermula pada 10 pagi hari ini dengan penilaian 10 juri di lapangan dimulakan dengan acara 'firefit' apabila empat peserta dalam satu kumpulan bergilir membentang serta menggulung hos mengikut teknik 'roll' dan 'coil'.

Acara diteruskan dengan cabaran 'ladder' yang menguji kepantasan peserta menaiki 40 anak tangga diikuti cabaran 'tower' yang memerlukan peserta bergilir menarik beban dengan lengkap mengenakan sut pakaian perlindungan diri (PPE).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 2:31 PM
Peserta Cabaran UKTK 2021 menjalankan acara 'ladder' yang bertempat di BBP Pengkalan Kubor. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Peserta Cabaran UKTK 2021 menjalankan acara 'ladder' yang bertempat di BBP Pengkalan Kubor. FOTO SITI ROHANA IDRIS