Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Abang Mamat Khalid antara yang melonjakkan nama saya dalam industri seni ini," kata pengarah dan pelakon Khir Rahman.

Khir berkata, dia kehilangan kata-kata selepas pemergian Allahyarham yang dianggap sebagai 'soft spot' dirinya sebagai anak seni.

"Saya terkejut dan saya memikirkan bagaimana saya hendak menerima pemergian abang Mamat.

"Banyak perkara yang saya rasa tidak dapat dikongsi dengan orang lain kecuali antara saya dengan dia saja. Banyak jasa abang Mamat kepada saya," katanya.

Menurutnya, sebaik selesai filem Rock, dia kerap berjumpa Allahyarham.

"Saya sudah melalui kesedihan yang teramat semasa melawat dia di hospital ketika pembedahan sebelum ini," katanya.

Katanya, Allahyarham disifatkan sebagai insan yang mempunyai pengetahuan mendalam terhadap filem, kegiatan seni dan kemasyarakatan.

"Dia selagi boleh akan tunaikan hajat kawan-kawan, saudara-mara dan semua orang," katanya.

Khir berkata, dia agak terlewat mengetahui berita pemergian Allahyarham Mamat kerana sedang menjalani penggambaran di Semenyih.

"Semalam saya tahu lambat sebab di Semenyih. Sebaik sampai di rumah, baru saya tahu berita sedih ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 8:19 PM
KHIR ketika ditemui di kediaman Allahyarham Mamat Khalid di Taman Ipoh Jaya Timur 1. FOTO Sharul Hafiz Zam
KHIR ketika ditemui di kediaman Allahyarham Mamat Khalid di Taman Ipoh Jaya Timur 1. FOTO Sharul Hafiz Zam