Noorazura Abdul Rahman


Yan: Kawasan rekreasi air terjun di Titi Hayun, Batu Hampar dan Sungai Perigi didapati masih tidak selamat untuk dikunjungi orang ramai berikutan perubahan struktur muka bumi akibat bencana kepala air yang berlaku sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, kejadian kepala air kerap berlaku selepas bencana 18 Ogos lalu menyebabkan aliran sungai menjadi terlalu deras dan tiada penampan.

Berikutan itu katanya, pembinaan Empangan Sabo di kaki Gunung Jerai perlu disegerakan kerana struktur itu mampu bertindak sebagai pengganti penampan semula jadi seperti pokok dan batu.

"Empangan Sabo mampu bertindak melambatkan pergerakan air dari Gunung Jerai, seterusnya mengurangkan kemusnahan di sekitar kaki gunung dan kawasan yang didiami penduduk.

"Justeru, kita menggesa Kementerian Alam Sekitar dan Air agar mempercepatkan pembinaan empangan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian banjir kilat dan kepala air di Titi Hayun di sini, hari ini.

SURAYA (dua kiri) meninjau kerosakan di kawasan rekreasi di Titi Hayun selepas banjir, Rabu lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
SURAYA (dua kiri) meninjau kerosakan di kawasan rekreasi di Titi Hayun selepas banjir, Rabu lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Pada 23 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk kerja naik taraf sungai dan sistem saliran fasa satu sepanjang 27 kilometer termasuk pembinaan Empangan Sabo.

Dalam pada itu, Suraya menafikan dakwaan penduduk berhubung kelewatan kerja mendalamkan sungai yang menyebabkan banjir kilat berulang pada Rabu lalu di kawasan sama.

"Kita hanya merancang tetapi alam yang membuatkannya berubah, kita sudah bina benteng dan bongkah batu semua dialihkan ke tepi, tetapi dengan air laju (deras), semua benteng di atas turun ke bawah," katanya.

Menurutnya, kerja baik pulih dan membersihkan sungai sudah bermula pertengahan September lalu dan mencapai kemajuan 65 peratus serta dijadual siap pada November.

"Buat sementara ini semua kawasan peranginan ditutup. Kita tidak tahu bila akan dibuka semula, ia mungkin ambil masa lama kerana memerlukan kajian terperinci selain kerja baik pulih akibat kerosakan yang berlaku," katanya.

Sementara itu penduduk, Marzuki Awang, 68, berkata, dalam kejadian terbaharu itu, banyak laluan sungai berubah sehingga air turut melimpah atas jalan raya.

"Kami penduduk kampung semuanya bimbang kepala air akan datang lagi apabila hujan di puncak Gunung Jerai, jadi tidak senang hati," katanya yang tinggal di Kampung Dusun Manggis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 5:20 PM