DR Hanafiah Bashirun.
DR Hanafiah Bashirun.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Memujuk golongan antivaksin ibaratnya seperti mencurah air ke daun keladi kerana kumpulan itu sudah mempunyai pendirian, pemahaman dan 'kajian' tersendiri untuk tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Bagi pakar kesihatan awam, sudah tiba masanya kerajaan atau Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempedulikan kumpulan itu yang hanya kurang 10 peratus di Malaysia tetapi lebih fokus untuk pemberian dos penggalak kepada mereka yang memerlukan.

Malah, kerajaan perlu berbangga dengan pencapaian yang diraih negara apabila lebih 94 peratus populasi dewasa sudah divaksinasi.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, kumpulan terpencil itu tidak perlu dilayan atau diberi muka oleh pihak berwajib.

"Seperti kita masak barbeque, arang jangan dikipas, kalau kipas akan terus menyala, biarkan bara itu hilang, lama-lama akan jadi abu. Tetapi jika kita kipas dan letak minyak, api akan terus menyala.

"Apa yang saya cuba sampaikan, tidak perlu kita melayan atau buang masa untuk 'menghiburkan' hati golongan antivaksin ini, lebih banyak perhatian diberikan, mereka akan lagi suka," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kumpulan antivaksin adalah golongan kecil iaitu tidak lebih 10 peratus dan diibarat seperti cili padi saja, walaupun kecil tetapi 'pedas'.

"Mereka ini daripada golongan tidak profesional, cara bercakap pun tidak nampak profesionalisme mereka.

"Kalau kita sibuk fokus golongan ini sehingga berjaya menarik perhatian, walhal apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah buat tidak tahu saja.

"Lebih baik kita fokus kepada pemberian vaksin dos ketiga atau penggalak, di mana kebanyakan kajian membuktikan vaksin Pfizer dan Astra Zeneca menyebabkan tahap antibodi makin merosot dan golongan ini memerlukan suntikan tambahan," katanya.

Katanya, kumpulan antivaksin sudah mempunyai pendirian, pemahaman dan melakukan 'kajian' tersendiri untuk tidak mengambil vaksin.

"Bagi saya, kerajaan atau KKM tidak perlu layan mereka dan kita patut berbangga kerana tidak ada negara di dunia ini sudah mencapai lebih 94 peratus vaksinasi, tetapi kita sudah melebihi sasaran ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, mungkin sudah tiba masanya kerajaan mewajibkan semua populasi dewasa mengambil vaksinasi di negara ini.

"Kerajaan kena terus guna pelbagai cara termasuk pembabitan pelbagai pihak untuk menyakinkan kumpulan ini.

"Mungkin perlu menggunakan pembabitan banyak NGO (badan bukan kerajaan) dan tidak bersifat marahkan antivaksin, selain mewajibkan vaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:49 PM