AZMAN Mahmood.
AZMAN Mahmood.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dengan harga RM2.60 sekilogram, Malaysia menjadi negara yang mempunyai harga paling rendah bagi jualan beras di rantau ini.

Berkualiti tinggi dan mempunyai bekalan yang mencukupi, negara berada pada tempat pertama mendahului Thailand yang menjual komoditi itu dengan harga RM2.70 sekilogram manakala Kemboja RM3.20 sekilogram.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras (KPB) Azman Mahmood berkata, kualiti beras tempatan adalah setara atau lebih baik berbanding beras putih import dan menjadi pilihan utama rakyat.

Menurutnya, sejak 2008 harga beras negara kekal rendah dan antara faktornya adalah polisi kerajaan dalam menetapkan harga siling beras tempatan (beras putih) berbanding negara lain yang bergantung kepada keadaan pasaran.

Katanya, di rantau Asean dan kebanyakan negara-negara di Asia, beras adalah makanan ruji dan dikategorikan sebagai barang kawalan.

"Berbeza dengan Malaysia, harga siling tidak dikenakan. Ini seperti harga ayam di Malaysia, di mana ayam termasuk barang kawalan tetapi tidak dikenakan harga siling dan boleh berubah mengikut keadaan pasaran.

"Harga beras di Malaysia tidak berubah sejak Krisis Beras Sedunia pada tahun 2008. Berbeza dengan negara-negara lain di mana berlaku ketidakstabilan harga, harga beras di Malaysia kekal stabil sewaktu dunia dilanda pandemik Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Azman berkata, Singapura mencatatkan harga tertinggi iaitu RM8.52 sekilogram, Brunei (RM5.60), Indonesia (RM4.10), Laos (RM4), Vietnam (RM3.34) dan Filipina RM3.33 setiap satu kilogram.

Beliau berkata, kecekapan di seluruh rantaian industri iaitu pengilangan, pemborongan, pengedaran dan peruncitan juga menyumbang kepada kestabilan harga serta mengekalkan harga pasaran yang rendah.

Menurutnya, itu menjadikan penggiat industri padi dan beras perlu mengoptimumkan kecekapan operasi mereka kerana berdepan dengan margin keuntungan yang rendah, mengambil kira harga siling beras.

Katanya, sekitar 90 peratus beras di pasaran adalah beras putih tempatan dan import mankala baki sekitar 10 peratus lagi adalah beras wangi, beras pulut, basmati dan beras istimewa lain seperti beras jepun.

"Majoriti beras putih adalah beras putih tempatan, manakala bakinya beras putih import. Beras tempatan dikenakan harga siling dan menjadi penanda aras kepada beras putih import dimana jurang perbezaan keduanya adalah kecil.

"Beras wangi biasanya menjadi pilihan masyarakat Cina, beras basmati menjadi pilihan restoran mamak dan Arab, beras pulut untuk dijadikan kuih muih, ketupat atau lemang, dan beras jepun di restoran Jepun.

"Secara purata, rakyat Malaysia mengguna sekitar 77 kilogram setahun, bersamaan sekitar 210 gram sehari.

"Penggunaan per kapita beras di Malaysia adalah menurun di mana pada tahun 1960-an, penggunaannya ialah sekitar 140 kg setahun," katanya.

Azman berkata, pada masa ini fokus diberikan kepada peningkatan hasil dan pendapatan petani dan mereka sudah berpindah daripada kaedah penanaman secara manual kepada penggunaan mekanisasi yang tinggi.

Pada masa yang sama katanya, negara mengeluarkan varieti beras wangi yang bermutu tinggi menerusi Mardi dan usaha sedang dijalankan untuk memperluaskan beras wangi ketahap komersil.

"Melalui penekanan baharu kerajaan kepada kaedah pintar sawah berskala besar (Smart SBB-MAFI), usaha mengkomersilkan beras wangi berkualiti tinggi dilihat mempunyai potensi yang besar di masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:34 PM