FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kebenaran rentas negeri dan pelancongan domestik ternyata memberi kelegaan kepada pemuzik jalanan untuk kembali 'menjual suara'.

Komuniti yang lebih sinonim dengan panggilan buskers kini boleh mengadakan persembahan di tempat tumpuan umum selain kafe dan kompleks beli belah.

Hasrin Abdullah, 47, mengakui kebenaran kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif memang sesuatu yang dinantikan.

Katanya, hampir dua tahun 'menggantung' gitar disebabkan penangan Covid-19 menyebabkan beliau perlu berhempas pulas demi sesuap nasi.

"Saya menjadi 'rider' makanan selepas busking tidak dibenarkan kerajaan untuk meneruskan kehidupan. Bukan mudah melakukan sesuatu di luar kebiasaan kita selama ini yang menjadikan nyanyian sebagai punca utama rezeki," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, rutin hariannya menghiburkan orang ramai kembali pulih selepas kebenaran mengadakan persembahan diberikan.

Katanya, Covid-19 ternyata memberi tamparan hebat kepada segenap lapisan masyarakat khususnya mereka yang bergantung kepada pendapatan harian.

"Kini kami bangkit kembali untuk meneruskan kehidupan dengan normal baharu dalam mengadakan persembahan. Alhamdulillah kelonggaran diberikan kerajaan dan ini merancakkan semula ekonomi domestik," katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri muzik.

Hasrin berkata, dia dan komuniti buskers juga berterima kasih kepada Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) khususnya presidennya, Wady Hamdan dan pelbagai pihak kerana banyak membantu buskers mencari 'job' dan menghulurkan bantuan kepada ahli.

Katanya, ia memang membantu mengurangkan beban komuniti ini dalam mendepani kemelut Covid-19.

"Diharap Covid-19 akan terus pulih dan Malaysia kembali menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:12 PM