GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


Kudat: Taktik penyeludup membuat penghantaran petrol pada awal pagi, hanya sia-sia apabila kegiatan berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM).

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kudat Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, pihaknya mengesan kegiatan itu pada 1.40 pagi menerusi Op Landai Khas dan turut menahan lelaki berusia 30 tahun.

Katanya, suspek dikesan ketika memandu pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di kawasan Marak Parak di sini, sebelum pemeriksaan dilakukan menemui beberapa tong dram berisi petrol.

"Petrol dianggarkan bernilai RM67,680 itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

"Bahan bakar dan kenderaan dirampas untuk diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau meminta kerjasama masyarakat di pesisir pantai supaya menyalurkan maklumat jika melihat kegiatan menyalahi undang-undang menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 11:08 AM