X
Ahmad Faizal (kanan) membesar di Kampung Sungai Rokam bersama Allahyarham. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Ahmad Faizal (kanan) membesar di Kampung Sungai Rokam bersama Allahyarham. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


Ipoh: Pemergian pengarah terkenal Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid disifatkan sebagai kehilangan besar kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, ia bukan sahaja kehilangan besar dalam industri perfileman tetapi juga kepada dirinya secara peribadi kerana membesar bersama-sama arwah.

"Saya ingin menyatakan rasa sangat sedih dan dukacita pagi ini apabila mendapat berita tentang kematian Allahyarham saudara Mamat Khalid yang sudah saya anggap seperti abang kandung saya sendiri.

"Saya membesar di Kampung Sungai Rokam bersama dengan Allahyarham dan sangat rapat dengan keluarga arwah termasuk isterinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Senamrobik Perdana dan melepaskan peserta Fun Ride sempena Peja Trophy 2021 di Padang Lintau, Manjoi di sini, hari ini.

Beliau memohon orang ramai bersama-sama mendoakan pemergian arwah yang disayangi dan disegani ramai itu.

"Marilah sama-sama kita mendoakan agar arwah diampunkan segala dosa dan dihimpunkan bersama orang beriman serta beramal soleh," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pengarah terkenal Mamat Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak, awal pagi hari ini.

Difahamkan, Mamat pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.

Jenazah arwah akan disembahyahgkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1 di Sungai Rokam sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Paloh di sini selepas Solat Zohor.

Mamat Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak.

Antara karyanya yang paling popular ialah Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang.

Berita berkaitan

Mamat Khalid meninggal dunia

Kehilangan bakat tiada pengganti

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 9:40 AM