Dr Asyraf (tengah) menyertai program gotong royong membersih kediaman mangsa banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) Labu Lanjut hari ini. FOTO SAMADI AHMAD
Dr Asyraf (tengah) menyertai program gotong royong membersih kediaman mangsa banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) Labu Lanjut hari ini. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Sepang: UMNO perlu menampilkan calon muda muka baharu bagi menghadapi 'perang' Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. berkata, UMNO perlu berubah dengan memberi peluang kepada orang muda menjadi pemimpin, selain seiring dengan usaha menjadikan UMNO sebagai parti masa depan.

Menurutnya, cadangan meletakkan calon muda pada PRN Melaka adalah wajar kerana ia seiringan dengan harapan pengundi muda.

Beliau berharap cadangan itu dapat diterima dan rakyat juga pastinya ingin melihat wajah baharu dari kalangan Pemuda atau Puteri UMNO.

"Gabungan calon muda dan lama perlu bagi mewujudkan kepimpinan yang kukuh. Malah calon muda juga dilihat berupaya memainkan peranan sebagai suara orang muda di PRN Melaka serta dalam parti," katanya selepas mengetuai program goyong royong membersih kediaman penduduk dilanda banjir di Rancangan Tanah Belia (RTB) Labu Lanjut di sini, tadi.

Program khidmat sosial korporat anjuran Pemuda UMNO Sepang itu turut disertai Skuad Sabil dan Pemuda UMNO Selangor yang menjadi sebahagian gerak kerja Pemuda UMNO bagi membantu mangsa pasca banjir.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Asyraf berkata, UMNO harus membuat persediaan awal bagi melahirkan pemimpin berkualiti serta ikon generasi muda yang berwibawa.

Menurutnya, orang muda semata-mata tidak mungkin dapat mewujudkan keupayaan yang utuh atau berkesan, sebaliknya adunan antara muka lama dan muka baharu akan membuatkan UMNO menjadi lebih kuat untuk menarik kembali sokongan rakyat.

Katanya, Pemuda UMNO sudah menggerakkan jentera pilihan raya di Melaka sejak dua minggu lalu selepas mendapat tahu PRN akan diadakan di negeri ini.

"Pemuda UMNO akan melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri Melaka pada Rabu ini bersama jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN)".

"Kita juga sudah bersedia dari segi pendekatan kempen alternatif sekiranya tidak dibenarkan kempen secara bersemuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:55 PM