Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


Seri Kembangan: Nasib lima beradik yang kematian kedua ibu bapa akibat jangkitan Covid-19 mendapat perhatian Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan kepada Abdul Razak Basiron, 67, iaitu datuk lima beradik berkenaan di kediaman mereka dekat Kota Perdana, di sini.

Saravanan berkata, FPM merangkumi bayaran RM2,000 sekali bayar manakala Pencen Penakat berjumlah RM835.70 iaitu faedah menerusi Skim Keliatan pula akan dibayar setiap bulan kepada kesemua anak waris sehingga mereka berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

Beliau berkata, buat masa ini, kedua-dua bayaran itu disalurkan kepada Abdul Razak yang kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan penjaga kanak-kanak berkenaan.

"Ini adalah hari paling sedih pada saya apabila bertemu dengan lima anak berusia tiga hingga 11 tahun yang kehilangan kedua ibu bapa mereka akibat Covid-19.

"Mujurlah majikan ibu lima kanak-kanak itu ada mencarum dengan Perkeso jadi layak menerima bantuan pencen bulanan yang akan diberi kepada datuk mereka.

"Perkeso turut jadikan mereka anak angkat dan akan tanggung (kos pengajian) sekiranya mahu sambung belajar ke peringkat universiti," katanya kepada pemberita selepas menziarah dan menyampaikan sumbangan.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Muhammad Azman Datuk Aziz Mohammed; Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Singergi, Ismail Abi Hashim dan Pengurus Pejabat Perkeso Putrajaya, R Thavamani.

ABDUL Razak (empat kiri) dan Intan (dua kiri) bersama cucu, Humaira (kiri), Hawwas (tiga kiri), Hadrami (tiga kanan), Hannan (dua kanan) dan Harraz (kanan). FOTO Fathil Asri
ABDUL Razak (empat kiri) dan Intan (dua kiri) bersama cucu, Humaira (kiri), Hawwas (tiga kiri), Hadrami (tiga kanan), Hannan (dua kanan) dan Harraz (kanan). FOTO Fathil Asri

Sementara itu, Abdul Razak berbesar hati menerima kunjungan KSM dan Perkeso selain bantuan disampaikan kepada keluarganya.

Menurut Abdul Razak, dia akan memikul tanggungjawab menjaga kelima-lima cucunya itu dengan sebaiknya dan sudah dapat menerima ketentuan Ilahi walaupun masih terkesan dengan pemergian anaknya, Ida Haryanie, 38 dan menantunya, Hasil Tahal, 46.

"Saya sangat berterima kasih kepada Perkeso dan Menteri kerana sudi datang ziarah kami di rumah.

"Tiada masalah untuk menjaga anak arwah kerana mereka adalah cucu saya dan hubungan kami sebelum ini pun rapat.

"Selain Perkeso, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat zakat, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) juga ada tampil beri sumbangan dan keperluan asas ," katanya.

Sementara itu, isterinya, Intan Sulaiman, 63, berkata, cucunya terutama yang bongsu, Hannan Hasil ada kalanya murung dan menangis mencari ibunya.

Abdul Razak (dua kanan) dan Intan (dua kiri) menerima sumbangan daripada Saravanan (kiri). Turut hadir Muhammad Azman (kanan) di rumahnya. FOTO Fathil Asri
Abdul Razak (dua kanan) dan Intan (dua kiri) menerima sumbangan daripada Saravanan (kiri). Turut hadir Muhammad Azman (kanan) di rumahnya. FOTO Fathil Asri

"Dia (Hannan) ada tanya bila Umi nak bangun tidur kerana tidak tahu ibunya sudah meninggal dunia.

"Bila jadi begitu, abang dan kakaknya yang akan cuba memujuknya. Saya juga beritahu ibunya ada di syurga dan kalau mahu jumpa Umi dan Abi (panggilan anak kepada Hasil) kena solat.

"Alhamdulillah, cucu saya itu faham malah mereka bukan saja solat tetapi juga berpuasa termasuk melakukan yang sunat iaitu puasa enam," katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual.

Hasil, pemilik syarikat kontraktor binaan meninggal dunia pada 11 Ogos lalu selepas 18 hari bertarung nyawa akibatjangkitan Covid-19.

Isterinya, Ida Haryanie pula menghembuskan nafas terakhir pada 7 Oktober selepas 64 hari bertarung nyawa di Hospital Putrajaya.

Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Hadrami, 11; Humaira, 9; Harraz, 8; Hawwas, 6; dan Hannan, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:46 PM