MELOR (kiri) dan Jaimah menunjukkan gambar terakhir Azhar Ramli ketika ditemui di Kampung Sungai Nipah Baroh, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
MELOR (kiri) dan Jaimah menunjukkan gambar terakhir Azhar Ramli ketika ditemui di Kampung Sungai Nipah Baroh, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: "Minggu lalu (16 dan 17 Oktober), arwah sekeluarga pulang dan tidur semalaman di rumah saya. Arwah anak ( Azhar Ramli, 38 ) berhasrat menziarahi kubur bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tua namun tidak kesampaian selepas mendapati pagar tanah perkuburan itu berkunci," kata Melor Annuar, 60-an.

Melor berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila anaknya itu dilaporkan lemas selepas dipercayai terjatuh ketika mencuci mukanya di Jeti Sungai Nipah di sini, jam 2 petang semalam.

Mayat nelayan itu kemudian ditemui pada jam 11.45 malam tadi pada jarak tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh

Ibu enam anak itu berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Gombak.

"Saya dapat menahan sebak selepas dihubungi isteri arwah yang memaklumkan anak lelaki saya lemas.

"Saya masih ingat lagi...sebelum arwah bertolak pulang ke Sungai Besar, dia sempat peluk dan cium saya. Kebetulan kami lama tidak berjumpa kerana larangan pergerakan rentas daerah sebelum ini.

"Tidak sangka itu kali terakhir saya bertemu dengannya," katanya ketika ditemui di rumah besannya di Kampung Sungai Nipah Baroh, di sini, tadi.

Sementara itu ibu mentua Azhar, Jamiah Muhammad, 67, menyifatkan Allahyarham sebagai menantu dan bapa yang mementingkan pendidikan agama anak-anaknya.

"Pesanan terakhir arwah kepada tiga anak lelakinya berusia tujuh hingga 13 tahun adalah jangan meninggalkan solat.

"Sejak tujuh tahun tinggal bersama saya, dua anaknya berjaya khatam Al-Quran. Besar harapan arwah untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam pendidikan agama," katanya.

Menurutnya, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Haji Dorani selepas selesai bedah siasat dan saringan Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 2.42 petang semalam.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian dan dibantu Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:31 PM