KUALA LUMPUR 23 OKTOBER 2021. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan. NSTP/FATHIL ASRI.
KUALA LUMPUR 23 OKTOBER 2021. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan. NSTP/FATHIL ASRI.
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


Seri Kembangan: "Saya beri amaran kepada majikan, jangan sampai ada yang menjadi mangsa penjara dua tahun," kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Saravanan memberi reaksi itu ketika mengulas mengenai tindakan segelintir majikan yang tidak membuat caruman betul untuk pekerja mereka.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi dalam soal itu sebaliknya akan menjalankan penguatkuasaan lebih tegas seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal membuat caruman terhadap pekerja mereka.

Katanya, langkah itu perlu dalam usaha membela nasib pekerja dan waris mereka supaya mendapat hak sewajarnya jika berlaku sebarang perkara tidak diingini .

"Bukan nak ugut tetapi majikan harus bertanggungjawab.

"Cuba letak diri kita di tempat mereka (pekerja). Orang kerja dengan kita, kayakan kita mengapa tak jaga mereka?

"Jika berlaku perkara tidak diingini, majikan tidak tanggung selamanya tetapi ia terletak di bawah tanggungan Perkeso jadi saya merayu kepada mereka (majikan) lakukan caruman dengan betul," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan dan menyampaikan sumbangan kepada, Abdul Razak Basiron, iaitu datuk dan penjaga lima kanak-kanak kematian ibu bapa akibat Covid-19 di Kota Perdana, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed; Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Singergi, Ismail Abi Hashim dan Pengurus Pejabat Perkeso Putrajaya, R Thavamani.

Abdul Razak menerima bantuan sebanyak RM2,000 menerusi Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berserta Pencen Penakat berjumlah RM835.70 yang akan dibayar setiap bulan sehingga lima cucunya iaitu Hadrami, 11; Humaira, 9; Harraz, 8; Hawwas, 6; dan Hannan, 3, berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

Bantuan itu diberi selepas ibu bapa mereka, Hasil Tahal, 46, meninggal dunia 11 Ogos laludi ikuti Ida Haryanie Abdul Razak, 38, pada 7 Oktober.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, 37,337 kes Covid-19 berdaftar dengan KSM sehingga 9 Oktober lalu membabitkan pekerja tempatan dan asing.

"Bagi faedah Pencen Penakat, pembayaran berjumlah RM7.48 juta selesai dibuat kepada 2,237 daripada 2,807 yang berdaftar manakala 265 lagi masih dalam tindakan.

"Sementara itu, pembayaran FPM sudah dibuat kepada kesemua 2,617 pekerja tempatan yang berdaftar dengan jumlah RM5.1 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:16 PM