‘Ant Man’ hadir memeriahkan pelepasan peserta Jelebu Walkathon Off Road di Hotel Seri Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
‘Ant Man’ hadir memeriahkan pelepasan peserta Jelebu Walkathon Off Road di Hotel Seri Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Pembukaan dan kebenaran semula penganjuran program berbentuk acara memberikan kelegaan kepada pembawa watak kostum adiwira yang sebelum ini sukar mendapatkan tawaran pekerjaan.

Mike Silva Joseph, 30, dari Kuala Klawang di sini berkata, dia antara individu yang gembira ketika ini apabila menerima banyak tempahan daripada pelbagai pihak selepas negeri ini memasuki fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya atas permintaan pelanggan, pelbagai kostum dikenakan bagi memeriahkan sesuatu majlis mengikut tema dikehendaki.

"Kebiasaan saya menerima bayaran bermula RM150 selain bergantung kepada bentuk majlis diadakan.

"Antara kostum yang biasa dipakai adalah pakaian watak adi wira Ant Man, mobile legend, dragon ball, transformer, aladin dan iron man, "katanya ketika ditemui pada program pelepasan Jelebu Walkathon Off Road di sebuah hotel di Kuala Klawang di sini, tadi.

Mike Silva yang bekerja sebagai penghantar barangan berkata, dia seronok melakukan pekerjaan sampingan itu di sekitar daerah ini.

Katanya, sejak memulakan kerjaya itu hampir dua tahun lalu, ribuan ringgit sudah dibelanjakan bagi membuat kostum dengan bantuan rakan-rakannya.

"Kebenaran oleh kerajaan kepada pihak berkaitan bagi menganjurkan majlis turut memberi peluang kepada peminat kostum seperti saya mencari pendapatan sampingan," katanya yang memakai kostum adiwira Ant Man semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 1:54 PM