DR Sha'ari Ngadiman. FOTO Bernama
DR Sha'ari Ngadiman. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan kematian seorang ketua jururawat selepas dipaksa menerima suntikan vaksin yang tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan itu terutamanya dipaksa menerima suntikan vaksin.

"Ini kerana kebiasannya, bagi kes-kes pesakit yang berisiko tinggi, mereka hanya akan diberikan suntikan di fasiliti kesihatan, tidak akan dibenarkan disuntik di fasiliti luar.

"Tidak mengapa, saya akan semak dalam masa terdekat. Saya akan beri laporan terperinci di mana kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh pihak kementerian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular di media seorang seorang wanita mendakwa kakaknya, seorang ketua jururawat di klinik kerajaan di Selangor meninggal dunia selepas dipaksa untuk vaksinasi.

Menerusi video yang tular itu, wanita itu mendakwa kakaknya meninggal dunia selepas mengambil vaksin pada 23 Julai lalu.

Nazrin juga memberitahu kakaknya yang menghidap penyakit kanser payu dara dan diabetes dipaksa mengambil vaksin tanpa kerelaan kerana perlu memulakan tugas pada Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 1:37 PM