Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Suasana Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini, kembali meriah selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula 11 Oktober lalu.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati ramai penumpang membanjiri LTSIP untuk menaiki penerbangan ke destinasi masing-masing seawal 8.30 pagi.

Penumpang Mohd Sukirman Mustafa, 42, berkata dia mendapati keadaan di lapangan terbang itu agak sibuk berbanding sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Menurutnya, pengurusan di LTSIP dilihat menjalankan kawalan ketat dengan memastikan setiap pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal.

Katanya, hampir 98 peratus premis makanan dan jualan mula beroperasi sekali gus memudahkan orang ramai untuk menjamu selera sebelum atau selepas penerbangan.

"Sejujurnya saya berasa lebih selesa kerana tidak lagi perlu menyiapkan pelbagai dokumen seperti surat kebenaran perjalanan dan pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi hanya perlu lengkap vaksinasi Covid-19 sahaja.

"Pada masa sama, saya mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di lapangan terbang selain berharap agar keadaan kembali pulih seperti biasa," katanya ketika ditemui di LTSIP, di sini.

Sementara itu, jurucakap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Kelantan berkata, terdapat 21 penerbangan dari LTSIP ke pelbagai destinasi bermula dari 8.30 pagi sehingga 7.45 malam ini.

Katanya, antara destinasi berkenaan ialah ke Langkawi, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching, selain Kuala Lumpur dan Subang.

LTSIP antara lapangan terbang domestik tersibuk selepas Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 1:19 PM
Antara penumpang yamg menggunakan perkhidmatan kapal terbang domestik baru tiba di LTSIP, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Antara penumpang yamg menggunakan perkhidmatan kapal terbang domestik baru tiba di LTSIP, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA