PESERTA membersihkan semak-samun di sepanjang laluan keretapi bersejarah di Kampung Chedang. FOTO Ahmad Hasbi
PESERTA membersihkan semak-samun di sepanjang laluan keretapi bersejarah di Kampung Chedang. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Jalan kereta api yang pernah digunakan pada 1891 untuk mengangkut bijih timah di Kampung Chedang, di sini, akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan di negeri ini kelak.

Difahamkan, laluan yang kedua tertua di Malaysia selepas laluan Port Weld (Kuala Sepetang) di Taiping, Perak itu kini hanya tinggal 100 meter sahaja di kampung berkenaan yang dikenali sebagai Kampung Bakar Batu ketika itu.

Ketua Unit Pelancongan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Shamaruddin Saidin berkata, lokasi pelancongan terbaru itu dikenali sebagai Laluan Keretapi Bersejarah Rahang dan akan dibuka kepada orang ramai bermula Januari tahun depan.

"Umum ketahui, laluan kereta api Seremban-Port Dickson adalah laluan kedua di Malaysia selepas laluan Kuala Sepetang. Laluan ini merupakan laluan yang bersejarah dan penting semasa era penjajahan British.

"Laluan ini menghubungkan Seremban (Sungei Ujong) – Port Dickson (Arang) dan menjadi pengangkutan terpenting bagi aktiviti pelombongan biji timah, kopi, sutera serta getah sebelum di eksport ke Eropah ketika itu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu beliau hadir program Gotong-Royong Rahang Historical Rail Tourism 2021 dianjurkan MBS bersama Pejabat Dun Rahang selain turut mendapat kerjasama SW Corp, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan, Keretapi Tanah Melayu (KTM), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), pemimpin masyarakat dan orang awam.

Katanya, program itu disertai 70 peserta bertujuan membangunkan produk pelancongan berkenaan di kawasan itu yang mempunyai sejarahnya dan nilainya tersendiri.

"Program gotong-royong ini dimulakan dengan membersihkan kawasan laluan dari jambatan dan mengecat pagar lama keretapi yang terdapat di Jalan Rasah.

"Dalam pada itu, program gotong-royong yang diadakan ini berkonsepkan ' dengan pembabitan masyarakat setempat yang turut memelihara dan memulihara khazanah warisan yang sedia ada.

"Selain itu, ia adalah usaha mempromosikan Bandar Seremban sebagai satu destinasi pelancongan yang menarik dan bersih untuk pelancong dari luar dan pengunjung datang ke sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 12:12 PM