KAKITANGAN Perhilitan Negeri Sembilan merampas 12 labah-labah dalam pemeriksaan di sebuah premis di Seremban. FOTO Ihsan Perhilitan
KAKITANGAN Perhilitan Negeri Sembilan merampas 12 labah-labah dalam pemeriksaan di sebuah premis di Seremban. FOTO Ihsan Perhilitan
Ahmad Hasbi


Seremban: Sebanyak 12 labah-labah tarantula pelbagai spesis dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dalam satu pemeriksaan di sebuah premis di daerah ini, 6 Oktober lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia hari ini, kesemua hidupan liar terbabit disimpan tanpa sebarang dokumen penyimpanan yang sah oleh pihaknya.

"Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Seremban berkaitan operasi ini. Kesemua barang rampasan dibawa ke Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan Nurul Ermi Ramli berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung rampasan berkenaan.

"Kami masih dalam proses pengecaman spesis labah-labah berkenaan dan ia mengambil sedikit masa. Siasatan lanjut masih berjalan sehingga kini.

"Kami juga sudah mengambil keterangan daripada pemilik serangga berkenaan iaitu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an.

"Siasatan awal mendapati labah berkenaan disimpan sebagai haiwan ternakan. Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan hidupan liar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 11:31 PM