RONALD mendapat taklimat daripada pegawai Maqis. FOTO Ihsan Maqis
RONALD mendapat taklimat daripada pegawai Maqis. FOTO Ihsan Maqis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merekodkan cubaan membawa masuk dan keluar hasilan agro makanan tanpa permit sebanyak RM1.35 juta sehingga 30 September lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jumlah itu membabitkan 37 kes di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu Maqis merekodkan 38 kes dengan nilai tahanan berjumlah RM1.2 juta.

"Maqis akan terus mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung serta dikawal.

"Kecekapan Maqis juga disaran untuk mempertingkatkan bagi memudah cara perdagangan pertanian di pintu masuk utama negara yang sekali gus membantu perkembangan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI yang turut dihadiri Ketua Pengarah Maqis, Shamsul Akbar Sulaiman.

Ronald berkata, Maqis juga sudah menambah baik kaedah pemantauan pengimportan dan pengeksportan dengan memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) serta melaksanakan kawalan kemasukan hasilan pertanian bagi tujuan transit dan penghantaran barangan.

Beliau berkata, dianggarkan sebanyak 350 lori membawa muatan melebihi 600 tan metrik akan diperiksa di CIQ BSI setiap hari.

Katanya, kementerian juga memuktamadkan beberapa cadangan pindaan kepada Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Ia antara lain untuk meluaskan skop kuasa Maqis di luar pusat kuarantin, stesen kuarantin serta premis kuarantin yang membabitkan kuasa untuk membuat serbuan, siasatan dan penahanan di luar pintu masuk negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 10:02 PM