MESYUARAT terakhir Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dilaksanakan hari ini. FOTO ihsan Twitter
MESYUARAT terakhir Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dilaksanakan hari ini. FOTO ihsan Twitter
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Selepas sembilan bulan menguruskan pelaksanaan program pemberian vaksin Covid-19, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini mengadakan mesyuarat buat kali terakhir.

Menerusi Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Dr Adham Baba.

Antara pencapaian tertinggi CITF adalah menjalankan pemberian vaksin kepada penduduk negara bermula Februari lalu sehingga membolehkan Malaysia menjadi antara negara yang mencapai kadar vaksinasi tertinggi dunia.

"Setelah 9 bulan beroperasi sehingga mencapai antara kadar vaksinasi tertinggi di dunia, mesyuarat terakhir Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dilaksanakan hari ini dipengerusikan bersama oleh YB Menteri MOSTI @DrAdhamBaba serta YB Menteri KKM @Khairykj.

"Dianggotai oleh MOSTI dan KKM serta disokong oleh pelbagai kementerian, agensi dan jabatan lain merentasi seluruh pentadbiran kerajaan - struktur CITF yang menekankan tindakan bersepadu ini berjaya memastikan PICK dapat mencapai objektifnya.

"Kepada semua pegawai CITF dan PICK di seluruh negara, terima kasih atas jasa dan sumbangan anda," katanya.

CITF ditubuhkan berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Januari lalu bagi memastikan pengagihan vaksin dapat dibuat dengan sempurna.

Mosti diberi mandat untuk menguruskan pelaksanaan PICK daripada aspek bukan perkhidmatan kesihatan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi kerajaan.

KKM pula akan meneliti aspek fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan Covid-19.

Khairy Jamaluddin yang ketika itu Menteri Mosti dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan beliau juga mengetuai CITF di bawah JKJAV.

Selain Mosti dan KKM, urusetia bersama adalah Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) dan Majlis Keselamatan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:10 PM