GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pesara polis didenda RM3,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah.

Tertuduh, Jangli Mamat, 58, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Jangli yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menerima wang RM650 daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya pada 6 Oktober 2016; 25 Februari dan 3 Mac 2017 lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Jangli mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang pertama, manakala pertuduhan alternatif kedua dan ketiga digugurkan oleh Abu Bakar.

Sementara itu, seorang pegawai berpangkat Inspektor dan anggota berpangkat Koperal yang bertugas di IPD Kota Belud turut berdepan pertuduhan menerima rasuah di mahkamah sama.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM4,400.

Tertuduh, Bobby Rhyne Warry Nawari, 38, berdepan lapan pertuduhan menerima wang sebanyak RM3,800 antara 1 Mei hingga 30 Ogos 2017.

Manakala Jameswell Anak Lakin, 44, pula menghadapi tiga pertuduhan kerana menerima suapan sebanyak RM600 antara 4 November 2016 hingga 16 Januari 2017.

Wang berkenaan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Bobby Rhyne diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri kepada SPRM Kota Kinabalu setiap dua bulan sekali.

Manakala Jameswell pula dibenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport dan perlu melaporkan diri kepada SPRM Cawangan Sibu setiap dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh pada 6 Disember depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:09 PM