Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Impian memiliki rumah di ibu kota tercapai selepas 10 tahun menyewa," kata Mohd Izwan Ismail, 38.

Kakitangan swasta itu bersyukur kerana bukan mudah untuk memiliki rumah di Kuala Lumpur yang harganya mencecah setengah juta ringgit.

Katanya, selepas Kementerian Wilayah Persekutuan membuka tawaran untuk warga kota memohon untuk memiliki rumah sendiri dia terus mencuba nasib dan berharap hasratnya tercapai.

"Residensi Desa Satu Mas di Taman Desa akhirnya menjadi milik saya dan bakal diduduki menjelang akhir tahun ini.

"Kini saya sekeluarga tidak lagi perlu menyewa dan memiliki rumah yang lebih selesa untuk didiami," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Desa Satu Mas, di sini, hari ini.

SHAHIDAN (kiri)menyampaikan replika kunci rumah kepada Mohd Izwan (tengah) ketika penyerahan Kunci Residensi Wilayah Desa Satumas di Taman Desa. FOTO Asyraf Hamzah
SHAHIDAN (kiri)menyampaikan replika kunci rumah kepada Mohd Izwan (tengah) ketika penyerahan Kunci Residensi Wilayah Desa Satumas di Taman Desa. FOTO Asyraf Hamzah

Majlis berkenaan dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd Tan Sri Chai Kin Kong.

Projek berkenaan dibina setinggi 43 tingkat itu memiliki tiga blok dibina menerusi inisiatif kerajaan dan syarikat pembinaan swasta, Aset Kayamas.

Sementara itu, Shahidan berkata, Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (RWKM) adalag inisiatif membantu merealisasikan impian warga kota memiliki rumah sendiri dengan lebih kondusif.

"Sehingga 30 September lalu, sebanyak 62,701 unit rumah diluluskan membabitkan 93 projek di Kuala Lumpur, Putrajaya (tiga) dan Labuan (empat).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 20,472 unit sudah siap dibina dan mereka yang berminat boleh memohon menerusi portal rasmi Residensi Wilayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 6:50 PM