GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Lapan lelaki warga Myanmar disyaki terbabit dalam kejadian bunuh rakan senegara mereka di sebuah kilang di Mahsan pada 17 Oktober lalu, berjaya ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, penahanan semua suspek dibuat secara berperingkat hasil maklumat awam.

Beliau berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu direman bermula 18 Oktober lalu sehingga 26 Oktober ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), (Akta 574) di lokap, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

"Hasil siasatan, seorang suspek berusia 40-an dikenal pasti sebagai suspek utama kejadian dan doia ditangkap pada 19 Oktober lalu di Lebuh Raya Utara Selatan menghala arah utara.

"Suspek dipercayai dalam cubaan untuk melarikan diri namun gagal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hoo berkata, polis menemui gunting yang digunakan suspek bagi menikam mangsa di lokasi kejadian.

Katanya, polis sedang melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ke atas suspek yang disyaki bagi proses pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pekerja kilang warga Myanmar berusia 36 maut selepas ditikam rakan senegaranya di beberapa bahagian badan dipercayai ketika mabuk dalam kejadian pada 1 pagi 17 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 6:30 PM