PELANCONG berjalan di SkyBridge Pulau Langkawi pada hari pertama Gelembung Pelancongan Domestik, 16 September lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
PELANCONG berjalan di SkyBridge Pulau Langkawi pada hari pertama Gelembung Pelancongan Domestik, 16 September lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, hari ini bersetuju membenarkan pelaksanaan Gelembung Pelancongan Antarabangsa (Inbound) bagi projek rintis Pulau Langkawi, bermula 15 November ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat selepas meneliti cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Menurutnya, pelancong antarabangsa yang berhasrat memanfaatkan gelembung pelancongan itu wajib mendapatkan khidmat pengendali pelancongan berlesen di bawah Motac, selain memenuhi syarat dan mematuhi SOP ditetapkan.

"Ini termasuk syarat pra pelepasan iaitu pelancong berkualiti (high yield), individu lengkap divaksin dan anak bawah 18 tahun wajib hadir bersama ibu bapa atau penjaga yang lengkap vaksinasi.

"Namun senarai negara yang dibenarkan tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Luar.

"Tiada syarat kuarantin dikenakan (terpakai untuk Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi sahaja) dengan tempoh tinggal selama tiga hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelancong juga diwajibkan menjalani ujian RT-PCR Covid-19 iaitu 72 jam sebelum berlepas dengan mencetaknya atau dalam bentuk digital dan mendaftar aplikasi MySejahtera.

Tambah beliau, jika melancong lebih lima hari diwajibkan menjalani ujian saringan pada hari kelima dengan semua kos ditanggung sendiri oleh pelancong.

"Pelancong yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu melalui Rapid Molecular Testing atau terus ke Langkawi (wajib ujian RT-PCR pada hari kedua) dan sekiranya positif akan dibawa ke pusat kuarantin.

"Bagi pra pelepasan pulang ke negara asal, pelancong antarabangsa sekali lagi perlu menjalani ujian saringan 72 jam sebelum berlepas. Sekiranya melancong selama tiga hari, ujian saringan pada hari kedua boleh digunakan untuk berlepas pulang ke negara asal," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 meluluskan SOP kemasukan pekerja asing ke negara ini bagi sektor perladangan.

Beliau berkata, kuota dan tarikh kemasukan pekerja asing bagi sektor pekerjaan yang lain adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

"Antara SOP dipersetujui adalah menerima vaksinasi lengkap, melakukan ujian saringan 72 jam sebelum meninggalkan negara asal, mengemukakan sijil vaksinasi dan mematuhi syarat serta dasar imigresen ditetapkan.

"Kemasukan hanya melalui KLIA 1 dan 2 (kecuali pekerja asing dari Thailand, kru-vessel penangkapan ikan tempatan melalui laluan darat), urusan dengan wakil majikan dan agensi kerajaan berkaitan serta wakil perwakilan diplomatik," katanya.

Antara lain, beliau memberitahu pekerja asing wajib kuarantin di pusat kuarantin diperakui, ujian saringan pada hari kedua dan kelima sebelum dibenarkan dibawa ke premis menggunakan pengangkutan disediakan majikan sekiranya negatif.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 6:16 PM