Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keperluan vaksinasi lengkap golongan remaja akan menjadi syarat bagi setiap kemudahan yang diperuntukkan kerajaan selepas ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarat yang dilaksanakan kepada dewasa ketika ini akan diperluaskan kepada golongan terbabit.

Beliau berkata, ini bermakna syarat vaksinasi lengkap bagi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun akan dinyatakan dalam prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun, kata beliau, ia tidak akan dilaksanakan serta-merta sebaliknya diberi tempoh penangguhan.

"Kerajaan akan selaraskan kemudahan berkaitan dan memberi golongan remaja 'grace period' selama tiga minggu atau sehingga pertengahan November.

"Tempoh ini adalah bagi memastikan kira-kira 80 peratus remaja yang menerima dos pertama ketika ini, selesai divaksin lengkap," katanya pada kenyataan hari ini.

Antara syarat vaksinasi lengkap yang terkandung dalam SOP golongan dewasa ketika ini adalah aktiviti makan di restoran serta rentas negeri.

Beliau berkata, kadar vaksinasi dos pertama bagi golongan remaja sudah mencapai 80.2 peratus atau 2,524,156 orang, setakat semalam.

Kata beliau ia adalah antara yang terpantas di dunia.

Untuk rekod, Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) bagi remaja usia berkenaan di Malaysia bermula sejak 20 September lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 5:54 PM