Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Amerika Syarikat (AS) yakin terhadap kemampuan Malaysia menangani pandemik Covid-19, seterusnya membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua negara termasuk sektor pelancongan.

Duta AS di negara ini, Brian McFeeters memuji tindakan kerajaan menangani penularan wabak dengan baik dan mencatatkan pemberian vaksinasi tertinggi di seluruh dunia.

"Kejayaan vaksinasi secara tidak langsung memberi keyakinan kepada pelancong luar untuk melancong ke negara ini dan ia adalah satu berita yang baik.

"Secara peribadi, rata-rata ahli keluarga saya juga bertanya peluang untuk datang kembali ke Malaysia apabila pintu sempadan dibuka," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan korporat di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata, pihak kedutaan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan negara ini dengan ketat.

Malah, katanya, pihaknya turut menghulurkan bantuan bagi memastikan imuniti kelompok di Malaysia berjaya dicapai.

"Semalam kami menyerahkan bantuan tambahan Covid-19 sebanyak AS$800,000 (RM3.3 juta) kepada Malaysia, sebagai menyokong usaha pelalian kepada golongan rentan dan memastikan pemulihan ekonomi," katanya.

SYED Hussian (kiri) memberi penerangan kepada McFeeters (tengah). FOTO Aswadi Alias
SYED Hussian (kiri) memberi penerangan kepada McFeeters (tengah). FOTO Aswadi Alias

Mengenai hubungan ekonomi AS dan Malaysia, Brian berkata, syarikat AS yang berpusat di negara ini fokus untuk memastikan operasi berjalan lancar dan kebanyakan mereka dilihat kurang terjejas.

"Kami sangat menyokong setiap aspirasi kerajaan dalam setiap perancangan ekonomi kerana pelaburan ekonomi AS di negara ini bernilai kira-kira RM25 bilion.

"Malah hubungan keselamatan antara dua negara juga begitu harmoni dan kita mahu semua aspek berjalan dengan baik," katanya.

SYED Hussian (kiri) menyampaikan cenderamata kepada McFeeters. FOTO Aswadi Alias
SYED Hussian (kiri) menyampaikan cenderamata kepada McFeeters. FOTO Aswadi Alias

Terdahulu, Brian yang dilantik menyandang jawatan berkenaan berkuat kuasa 26 Februari lalu meluangkan masa hampir tiga jam dalam lawatan korporat di Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas.

Ketibaan Brian pada 10.30 pagi disambut pengurusan kanan diterajui Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Rafiq Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 3:30 PM
MCFEETERS (kanan) ketika sidang media yang turut disertai Syed Hussian (dua kanan) di Sri Pentas Bandar Utama. FOTO Aswadi Alias
MCFEETERS (kanan) ketika sidang media yang turut disertai Syed Hussian (dua kanan) di Sri Pentas Bandar Utama. FOTO Aswadi Alias