Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap empat pertuduhan membabitkan jenayah persetubuhan luar tabii, rogol dan samun, 12 Oktober lalu.

Tertuduh, Zul Mazuan Zul Hilman @ Suresh Kumar, 25, minta dibicarakan selepas membuat pengakuan itu ketika kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, Zul Mazuan didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan peraturan tabii terhadap seorang wanita warga Myanmar.

Pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan merompak sejumlah wang RM200 dengan menggunakan sebilah pisau terhadap mangsa yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, lelaki terbabit turut didakwa merogol wanita warga asing itu dengan meletakkan sebilah pisau di leher mangsa.

Ketiga-ketiga kesalahan berkenaan didakwa di lakukan di sebuah rumah di No 14, Tingkat Kikik 2, Taman Inderawasih di Perai, dekat sini, kira-kira jam 4 pagi.

Zul Mazuan didakwa melakukan tiga kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh, Zul Mazuan Zul Hilman didakwa lakukan persetubuhan luar tabii, rogol dan samun. FOTO Mikail Ong
Tertuduh, Zul Mazuan Zul Hilman didakwa lakukan persetubuhan luar tabii, rogol dan samun. FOTO Mikail Ong

Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara, Seksyen 392 Kanun Keseksaan pula, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, lelaki itu turut berdepan dengan pertuduhan merompak RM200 mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan membabitkan mangsa seorang wanita warga tempatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Medan Kikik 1, Taman Inderawasih di Prai, dekat sini pada 9 Oktober lalu, kira-kira jam 5.15 pagi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Nur Fazliyana Ahmad memohon kepada mahkamah supaya tidak memberikan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh ekoran kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, pihak peguam yang mewakili tertuduh meminta mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan ikat jamin dengan memaklumkan bapa tertuduh sebagai penjamin.

Nor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhannya berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap empat pertuduhan terbabit, selain meletakkan syarat bahawa tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 1:51 PM