MANGSA banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, beratur untuk mengambil makanan. FOTO IHSAN APM
MANGSA banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, beratur untuk mengambil makanan. FOTO IHSAN APM
Nuraliawati Sabri

[email protected].

Melaka: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 1,105 orang sehingga jam 8 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel PA Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

"Mangsa yang terjejas membabitkan 283 keluarga dan daerah Melaka Tengah merekodkan jumlah paling ramai dengan 718 individu.

"Malah, daerah Melaka Tengah juga merekodkan kawasan paling teruk terjejas dengan 26 kawasan, manakala di Jasin 12 dan 14 kawasan di Alor Gajah," katanya.

Menurutnya, daripada 15 PPS yang dibuka sejak kelmarin, tiga daripadanya sudah ditutup semalam.

"Tiga PPS yang ditutup itu adalah di Balai Raya Kampung Gadek, Dewan Japerun Durian Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum," katanya.

Media kelmarin melaporkan, susulan hujan lebat berterusan lebih lima jam mengakibatkan beberapa laluan utama di negeri ini dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 9:42 AM