Anggota APM menyelamatkan lapan sekeluarga yang terperangkap enam jam di kediaman mereka akibat banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina, Masjid Tanah. Foto HASSAN OMAR
Anggota APM menyelamatkan lapan sekeluarga yang terperangkap enam jam di kediaman mereka akibat banjir di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina, Masjid Tanah. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: "Syukur nasi dan lauk semalam masih ada dan kami cuma memanaskannya untuk mengalas perut ketika banjir," kata Nina Shakina Abu Kassim.

Nina Shakina, 27, berkata, dia dan tujuh anggota keluarganya yang menghuni sebuah rumah di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina, dekat sini terpaksa memakan nasi dan lauk semalam selepas dapur dinaiki air dan tidak boleh digunakan untuk memasak.

Katanya, air naik mulai 4 pagi hari ini menyebabkan dia, ibu, bapa, dua adik dan dua anak serta seorang kakaknya berusia antara sembilan hingga 70 tahun tidak sempat keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

"Hujan lebat sejak 2 petang semalam menyebabkan Sungai Berembang berhampiran kediaman kami melimpah mulai 2 pagi tadi sebelum naik hingga paras 1.5 meter dua jam kemudian.

"Saya terpaksa menghubungi abang, Mohd Ali Iskandar, 33, yang tinggal di tempat lain untuk mendapatkan bantuan bagi membawa kami keluar kerana kami takut melihat arus deras," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, dia mendapatkan bantuan penduduk kampung untuk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menyediakan bot penyelamat.

"Alhamdulillah, usaha membawa mereka keluar dari rumah berjaya disempurnakan pasukan penyelamat APM Masjid Tanah pada 10 pagi ini," katanya.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang meninjau operasi menyelamat lapan sekeluarga itu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota APM kerana bertindak segera melaksanakan kerja itu.

"Alhamdulillah, usaha menyelamatkan mangsa banjir berjaya dilakukan walaupun anggota APM terpaksa meredah arus deras dan saya ucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang banyak membantu," katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan nasi bungkus dan minuman kepada mangsa banjir dan petugas APM serta penduduk kampung yang berganding bahu menyelamatkan mangsa terbabit.

Katanya, selain bantuan wang tunai dihulurkannya hari ini, pegawai Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah akan membantu menguruskan bantuan kewangan untuk mangsa banjir melalui peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:42 PM