Samadi Ahmad


Putrajaya: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Diya Che Jusoh, 46, yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat, Melaka, semalam.

Katanya, jasa bakti dan pengorbanan Allahyarham Mohd Diya sememangnya tidak terbalas.

"Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran sebaiknya dan mengangkat darjat Allahyarham bersama orang-orang soleh," katanya melalui hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, Allahyarham meninggal ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.

Katanya, Allahyarham meninggal dunia pada jam 3.11 pagi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur Krubong, kira-kira 10 pagi ini.

Media sebelum ini melaporkan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah itu tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras ketika membantu mangsa banjir dan bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

Ketika kejadian anggota berkenaan dipercayai hilang imbangan susulan arus deras ketika memasang tali untuk menyelamatkan mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 10:26 AM