DEWAN Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan. FOTO Arkib NSTP
DEWAN Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Seremban: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 26 November ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata kerajaan negeri menjangkakan untuk membentangkan empat rang undang-undang (RUU) sewaktu persidangan itu merangkumi RUU Undi 18 dan pengehadan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal.

"Selain itu, turut akan dibentangkan ialah RUU Enakmen Tanah Adat dan Perbekalan. Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat mingguan bersama Exco semalam," katanya menerusi catatan dalam Facebook rasminya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Negeri Sembilan akan mengadakan karnival Deepavali bermula 25 Oktober hingga 3 November ini dengan lokasi ditetapkan adalah di Seremban, Tampin dan Gemencheh.

Mengenai kadar vaksinasi, Aminuddin berkata sebanyak 100.7 peratus populasi dewasa di negeri ini sudah melengkapkan vaksin dengan 101.3 peratus lagi sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat semalam.

"Ini bermakna 74.9 peratus daripada keseluruhan populasi di Negeri Sembilan sudah lengkap divaksin, manakala bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 23.6 peratus sudah lengkap divaksin serta 13 peratus menerima dos pertama," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut berharap supaya kanak-kanak yang layak divaksinasi dapat mengambil suntikan vaksin itu bagi melindungi mereka terutama sewaktu sesi pembelajaran bersemuka di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 9:12 AM