1986 Daihatsu Mira Walkthrough Van ciptaan Abdul Wahab yang memenangi tempat pertama manakala kereta 1987 Toyota  Cressida ciptaan Elden Schrock yang menduduki tempat kedua. FOTO Ihsan Pembaca
1986 Daihatsu Mira Walkthrough Van ciptaan Abdul Wahab yang memenangi tempat pertama manakala kereta 1987 Toyota Cressida ciptaan Elden Schrock yang menduduki tempat kedua. FOTO Ihsan Pembaca
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Hebat dan mengagumkan apabila seramai 12 anak Malaysia berbakat berjaya menempatkan diri dalam pencarian kenderaan rekaan khas Hot Wheels Legend Tour 2021 untuk dijadikan model sebenar kereta permainan Hot Wheels.

Kesemua 12 finalis anak tempatan itu menghasilkan kepelbagaian rekaan kereta berjenama dari pelbagai negara seperti Jepun, Jerman, Itali termasuklah jenama kereta Malaysia.

Antara finalis terpilih adalah Lee Ming Hui yang menghasilkan kereta Audi TT MK2, Sofyan Darmadi (1969 VW Beetle Vandetta), Norsayang Ngatiman (1968 Toyota Corolla KE10), Addison Victor Liew Kian Tek (1980 Mazda RX7 1st Gen Savanna Sa22C), Jeffrey Teoh (2008 Ferarri 430), Karrthikan Amerudalingam (1997 Proton Wira 1.5 GL), Abdul Wahab Bahari (1986 Daihatsu Mira Walkthrough Van), Elden Schrock (1987 Toyota Cressida), Mohd Iltizam Mohamad Sokri (1990 Toyota Estima TCR 21), Tham Kheng Ming (2002 Toyota MRS MR2 Spyder), Norman Ng (2014 Porsche Boxster 981), dan Kathires Thanabal (2012 Honda Accord).

Siri Hot Wheels Legends Tour Malaysia tahun ini juga mencatatkan peningkatan penyertaan dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Setiap penyertaan dinilai berdasarkan ketulenan, tahap mirip rekaan memaparkan identiti semangat Hot Wheels®, kreativiti, daya tarik rekaan menonjol berbanding rekaan lain dan Semangat Garaj (Garage Spirit), keupayaan pereka menyerlahkan ciri model sebagai kereta 'buatan khas bukan dibeli.'

Hot Wheels Legend Tour 2021 ini juga mendapat kerjasama daripada Art of Speed Malaysia dan diadakan secara langsung dari Muzium RWB, Johor Bahru, semalam.

Pihak penganjur menerima 163 penyertaan di Malaysia dan menyenarai pendek sehingga 12 peserta sahaja bagi pusingan akhir.

Melalui pertandingan ini, Abdul Wahab dinobatkan sebagai juara dan akan mewakili Malaysia di pusingan separuh akhir global sekali gus berpeluang menyaksikan rekaannya diubah menjadi model kereta permainan (die-cast) Hot Wheels. Abdul Wahab akan mewakili Malaysia dengan rekaan 1986 Daihatsu Mira walkthrough Van untuk bersaing dengan wakil negara lain pada 4 November depan.

Dalam pertandingan itu, kereta 1987 Toyota Cressida ciptaan Elden Schrock memenangi tempat kedua manakala Proton Wira 1.5 GL hasil rekaan Karrthikan Amerudalingam menduduki tempat ke tiga.

Difahamkan Pemenang siri Malaysia ini akan mewakili negara di peringkat antarabangsa dan bakal bersaing dengan pemenang dari siri-siri Hot Wheels Legends Tour.

Untuk maklumat lanjut berkenaan pertandingan ini, layari https://artofspeedmy.com/hot-wheels-legends-tour-2021/ atau www.facebook.com/ArtOFSpeedMY/.

caption

Pix 1: 1986 Daihatsu Mira Walkthrough Van ciptaan Abdul Wahab yang memenangi tempat pertama manakala kereta 1987 Toyota Cressida ciptaan Elden Schrock yang menduduki tempat kedua

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 12:01 AM