GAJAH didapati berkeliaran di kawasan perumahan Taman Bandar Tiram. FOTO Ihsan Pembaca
GAJAH didapati berkeliaran di kawasan perumahan Taman Bandar Tiram. FOTO Ihsan Pembaca
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Orang ramai dikejutkan dengan kemunculan beberapa ekor gajah di Taman Bandar Tiram di sini pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesahkan video berdurasi lima saat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman penduduk.

Beliau berkata, video berkenaan juga tular di facebook (fb).

Menurutnya, kejadian berlaku pada 5.17 pagi pada 19 Oktober lalu dan ia membabitkan dua gajah dipercayai berkeliaran dari Batu 14 Setengah Sungai Tiram ke kawasan belakang Pulada.

Katanya, haiwan liar itu juga dipercayai melintasi Taman Perumahan Bandar Tiram.

"Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Bahru, mereka mendapat makluman daripada orang awam berkaitan gajah berkenaan pada 8.30 pagi.

"Bagaimanapun setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan harta benda awam mahupun kemalangan jiwa di kawasan berkenaan.

"Orang awam dinasihatkan jika mempunyai sebarang makluman mengenai kejadian gajah liar ini segera memaklumkan kepada pihak polis berhampiran atau menghubungi Jabatan Perhilitan Johor Bahru," katanya menerusi siaran media.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 11:48 PM