Zuliaty Zulkiffli


Yan: "Ini kali kedua rumah ibu bapa saya dan penduduk di Kampung Raga dinaiki air akibat hujan lebat malah kawasan pekan Yan juga turut dinaiki air.

"Saya juga sempat melihat air deras ketika dalam perjalanan ke rumah ayah yang seakan sama seperti kejadian kepala air sebelum ini dan airnya sangat deras," kata Murshirul Umar, 39.

Hujan lebat sekitar Gunung Jerai sejak petang tadi, menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilapor mengalami banjir malam ini.

Antara kawasan yang terjejas adalah perkampungan sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar selain pekan Yan turut dinaiki air setinggi antara 0.5 hingga 0.7 meter.

Menurut Murshirul, ketika kejadian bapanya, Umar Abu Yazid, 60-an dan ibunya, Siti Aisyah Hanafi, 60-an tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya menutup lubang dalam rumah bagi mengelak air memasuki rumah mereka.

Katanya, barangan dalam rumah turut ditenggelami air sedalam 0.5 meter akibat air yang turun terus dari arah gunung.

"Kalau tengok air deras yang berlaku hari ini nampak dahsyat juga tapi Alhamdulillah sebab pihak berkuasa sudah mengorek kawasan ini berikutan kejadian kepala air yang berlaku Ogos lalu menyebabkan air tidak laju masuk dalam rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Murshirul berkata, keadaan di Pekan Yan juga ditenggelami air dan masih belum surut ketika ini disebabkan hujan lebat.

RUMAH penduduk di Yan yang dinaiki air. FOTO Ihsan Pembaca
RUMAH penduduk di Yan yang dinaiki air. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana APM Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan banjir kilat yang berlaku di daerah Yan pada jam 6.30 petang.

Beliau berkata, sebanyak 60 rumah dilaporkan terjejas dalam kejadian banjir kilat di daerah itu di Kampung Perigi, Kampung Raga, Titi Bakong, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan, Pulau Chengai Mukim Yan.

"Setakat ini Pekan Yan masih ditenggelami air dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Muaz berkata, lokasi kedua pula membabitkan Pekan Singkir Darat, Singkir Kedai Keling, Singkir Genting dan Mukim Singkir.

Beliau berkata, sebanyak 100 rumah dilaporkan terjejas di kawasan berkenaan.

"Jumlah keseluruhan rumah yang terjejas dalam kejadian banjir kilat di daerah Yan adalah sebanyak 160 rumah.

"Saya nasihatkan penduduk di daerah Yan supaya berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya rumah mereka dinaiki air dan hubungi pasukan penyelamat untuk memudahkan operasi penyelamatan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 11:05 PM