Mohamad, gambar fail. FOTO NSTP
Mohamad, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Biro Politik Umno akan membuat syor kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung sama ada Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini perkara itu belum diputuskan lagi walaupun terdapat pihak tertentu yang optimis terhadap kerjasama itu.

"Biro Politik Umno akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara itu sebelum dibawa ke mesyuarat khas MKT.

"Setakat ini parti belum buat keputusan mengenai perkara berkenaan (kerjasama).

"Kita perlu buat kaji selidik dulu berdasarkan maklum balas daripada bahagian-bahagian, negeri, agensi sebelum buat keputusan.

"Kita masuk pilihan raya nak menang, bukan nak bermegah dan kalau berseorangan pun parti bersedia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Taklimat dan Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan Tahun 2021, Umno Bahagian Rembau di Royal Chulan di sini, petang tadi.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan melontarkan nasihat kepada mana-mana pihak termasuk penganalisis politik supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menelah mengenai pendirian parti itu pada pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 9:42 PM