REMBAU 20 OKTOBER 2021. Dua penduduk kampung memberi amaran kepada seorang penunggang motosikal yang ingin melalui Jalan Pulau Mampat-Seberang Batu Hampar yang terputus dua petang tadi susulan hujan lebat berterusan lebih tiga jam menyebabkan limpahan air sungai di Kampung Seberang Batu Hampar. STR/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Mohd Amin Jalil

Rembau: Susulan hujan lebat berterusan lebih tiga jam selain limpahan air sungai, Jalan Pulau Mampat-Seberang Batu Hampar, di sini, runtuh menyebabkan pengguna terputus hubungan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Mohamad Najib Mustafa berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) menerima aduan jalan raya yang terputus dua itu pada 4 petang tadi.

Katanya, mereka bergegas ke lokasi kejadian bagi mengelak pengguna jalan raya melalui jalan terbabit.

"Pengguna jalan raya boleh melalui jalan alternatif iaitu Pulau Mampat dan keluar ke pekan Rembau susulan jalan terbabit buat masa ini tidak boleh dilalui.

"Malah, terdapat limpahan air di Sungai Batu Hampar, Sungai Ibor, Sungai Pedas, Sungai Batu dan Sungai Mampong.

"Bagaimanapun, keadaan ketika ini terkawal dan sehingga 6 petang tadi, tiada mangsa yang dipindahkan, namun kami memantau dari semasa ke semasa situasi banjir dan sungai di Kampung Sungai Ibor," katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.

Mohamad Najib menasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati dan menggunakan laluan yang selamat untuk ke destinasi.

Sementara itu, beberapa lokasi di daerah Seremban dan Port Dickson mengalami kejadian banjir kilat.

Antara kawasan yang dinaiki air terbabit termasuk di Mambau, Ampangan dan Jimah di Port Dickson.

Malah, beberapa kejadian pokok tumbang turut berlaku di Labu dan Taman Bukit Chedang di sini hingga menyebabkan kesesakan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 9:27 PM