X
KHAIRY berucap pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia oleh Lembaga Tabung Haji. FOTO Bernama
KHAIRY berucap pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia oleh Lembaga Tabung Haji. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Malaysia masih berunding dengan kerajaan Arab Saudi supaya tidak mengenakan diskriminasi vaksin bagi individu yang mahu ke negara itu bagi urusan mengerjakan umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

"Kita masih berunding dengan Arab Saudi supaya tidak ada diskriminasi vaksin sebab kita dapati semua vaksin Covid-19 (yang digunakan Malaysia) adalah berkesan dan selamat," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan hanya menerima empat jenis vaksin Covid-19 iaitu keluaran Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna sahaja bagi individu yang mahu ke negara berkenaan.

Pada Julai lepas, negara itu mengumumkan individu yang sudah lengkap dos Sinovac dan Sinopharm diterima masuk ke negara itu dengan syarat menerima dos penggalak yang diiktiraf di Arab Saudi.

Khairy dalam pada itu berkata satu ciri baharu dalam MySejahtera akan disediakan bagi membolehkan individu memohon dos penggalak untuk memenuhi syarat negara lain termasuk bagi urusan mengerjakan umrah atau menunaikan haji.

Khairy sebelum ini memaklumkan individu yang mahu menunaikan umrah tetapi tidak menerima jenis vaksin ditetapkan Arab Saudi boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan suntikan penggalak menerusi aplikasi MySejahtera bermula bulan depan.

Pada majlis berkenaan, KKM menerima sumbangan sejumlah 81 unit katil elektronik bernilai RM2 juta daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Program A'fiat TH 2021 bagi menambah keperluan katil unit rawatan rapi (ICU) di beberapa hospital terpilih.

"Sumbangan ini bukan sahaja akan digunakan di unit ICU malah di unit lain yang sama penting bagi menguruskan kes bukan COVID-19 dalam fasa transisi kita keluar dari pandemik ini," kata Khairy yang menzahirkan penghargaan kepada TH atas sumbangan berkenaan.

Menurut menteri itu, sumbangan tersebut merupakan lanjutan daripada Program A'fiat TH 2020 di mana TH menyumbang 57 mesin hemodialisis kepada 42 hospital kerajaan dengan nilai sumbangan hampir RM2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:48 PM